Zizan Rindu Bersama Johan Di Pentas MLM

Pelawak dan pelakon Zizan Razak mengaku rindu untuk beraksi di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM 2017) bersama pasangannya daripada kumpulan Jozan, Johan.

Zizan ketika dihubungi Astro Gempak berkata, peluang menjadi tetamu MLM 9.30 bersama Angah Raja Lawak Jumaat ini sedikit sebanyak mengubat rindunya terhadap program lawak popular itu.

“Bukan tidak mahu menyertai MLM, tetapi kami (Jozan) mahu membawa jenama kami ke pentas yang lebih besar disamping mengangkat martabat pelawak ke satu fasa yang lebih tinggi.

“Bohong jika saya kata, saya tidak rindukan pentas MLM kerana saya dan Johan lahir dari program Raja Lawak dan pernah menjuarai MLM pada tahun 2012.

“Kami tidak pernah melupakan MLM sebab itulah apabila diundang sebagai tetamu undangan program tersebut sukar untuk kami menolak, lebih-lebih lagi jika tiada komitmen lain,” katanya 

Ditanya tentang MLM 2017, Zizan memberitahu kesemua peserta kali ini mempunyai kekuatan dan kehebatan masing-masing.

“Peserta senior seperti Shiro, Bocey dan Zero rasanya semua sudah tahu mereka sangat konsisten dalam setiap persembahan tapi tidak boleh leka kerana pendatang baru seperti Dzawin mampu untuk menggugat kedudukan mereka,” ujarnya.

Kepada anda semua jika rindukan Jozan, jangan lupa menyaksikan program MLM 9.30 pada Jumaat ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Post a Comment