Takut Gagal Mengacara Oscar, Nabil Ahmad Minta Nasihat Pak Nil

Pelawak Nabil Ahmad akui meminta pandangan pengacara nombor satu Malaysia, Datuk Aznil Hj Nawawi untuk menjadi hos karpet merah Anugerah Akademi ke 89 (Oscar) yang bakal berlangsung pada 27 Februari ini.

Menurut Nabil, 33, dia khuatir sekiranya tidak dapat menemubual bintang ternama Hollywood dan menghampakan harapan penonton di Malaysia.

"Saya menggalas tanggungjawab yang sangat besar dan tugasan ini bukan mudah untuk saya.

"Tipulah kalau tak gementar lebih-lebih lagi ini merupakan kali pertama saya menjadi hos untuk anugerah berprestij yang semenangnya terkenal di seluruh dunia.

"Saya rasa terharu apabila Pak Nil tidak lokek untuk berkongsi tips dan memberikan gambaran mengenai situasi karpet merah di sana.

"Lagipun Pak Nil lebih berpengalaman dan dia juga merupakan hos sebelum ini.

"Banyak yang saya belajar daripadanya dan dia juga ada berikan nasihat tentang perkara-perkara yang boleh dilakukan dengan tidak sepanjang mengacarakan Oscar nanti," katanya ketika ditemui pada sidang media Anugerah MeleTOP ERA yang berlangsung di TREC, Kuala Lumpur semalam.

Mengulas mengenai persediaannya sebagai hos, Nabil memberitahu membuat kajian terhadap filem dan juga artis antarabangsa yang bakal ditemui pada acara tersebut.

"Saya sudah menonton sembilan filem yang dicalonkan dan mengkaji soalan-soalan yang boleh ditanyakan kepada mereka nanti.

"Saya difahamkan agak sukar untuk bertemu mereka tapi tak mengapalah saya akan cuba sedaya upaya.

"Saya akan praktikkan dan guna segala ilmu yang diajar oleh Pak Nil untuk menjadi pengacara yang baik,"ujarnya.

Nabil dijadualkan berangkat ke Los Angeles pada Khamis ini.

Nabil merupakan pengacara kedua karpet merah Oscar selepas Datuk Aznil Hj Nawawi.

Anugerah Oscar akan berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 27 Februari ini.

Acara karpet merah Oscar akan bersiaran secara langsung di HBO (saluran 431) dan Astro On The Go pada jam 8 pagi, diikuti majlis penganugerahan pada jam 9 pagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Post a Comment